Lebih ramai rakyat AS mati akibat Covid-19 berbanding tiga perang

Gambar fail menunjukkan beberapa orang memakai pelitup muka ketika berjalan di bandar raya New York. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa orang memakai pelitup muka ketika berjalan di bandar raya New York. - Foto AFP
A
A
A

ANGKA kematian di Amerika Syarikat (AS) akibat Covid-19 pada Isnin lalu melepasi 500,000 orang selepas ia mencatatkan kematian pertama akibat pandemik itu pada 29 Februari tahun lalu di negeri Washington, AS.

Kematian itu adalah melibatkan seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50an dan mempunyai masalah kesihatan serta meninggal dunia di Pusat Perubatan Evergreen di Kirkland, Washington.

Ia kemudian meningkat sedikit demi sedikit sehingga Presiden AS, Joe Biden mengumumkan seramai 500,071 penduduk negara itu meninggal dunia akibat pandemik tersebut dalam majlis memperingati mangsa-mangsa Covid-19 di Amerika.

Jumlah itu meletakkan AS yang dianggarkan mempunyai kira-kira lebih 300 juta penduduk menduduki tempat pertama dalam senarai negara-negara yang mencatatkan kematian akibat Covid-19.

India menduduki tempat kedua apabila mencatatkan lebih 11 juta kes Covid-19 tetapi cuma 156,000 orang meninggal dunia sebelum diikuti Brazil apabila mempunyai lebih 10 juta kes namun lebih 350,000 orang meninggal dunia, menurut perangkaan portal Worldometer sehingga Rabu lalu.

Jumlah kematian lebih 500,000 yang dicatatkan AS itu juga melebihi angka kematian rakyat AS yang terbunuh dalam Perang Dunia Kedua, Perang Vietnam dan Perang Korea.

Menurut portal berita TRT, dianggarkan seramai 405,000 warga AS meninggal dunia dalam Perang Dunia Kedua, 58,000 lagi ketika Perang Vietnam dan 36,000 penduduk Amerika terbunuh ketika era Perang Korea.

Lebih 2.5 juta kematian dilaporkan berlaku di seluruh dunia setakat Rabu lalu dengan 113 juta kes jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Namun, lebih 63 juta kes sembuh dicecatakn pada Rabu lalu sejak pandemik itu dikesan pertama kali di Wuhan, China pada Disember 2019.

Menurut portal perangkaan Covid-19 iaitu Worldometer setakat Rabu lalu, China mencatatkan 4,636 kes kematian dan 89,871 kes jangkitan pandemik itu walaupun mempunyai penduduk dianggarkan berjumlah 1.4 bilion pada tahun lalu.

Dianggarkan seramai 405,000 warga AS meninggal dunia dalam Perang Dunia Kedua, 58,000 lagi ketika Perang Vietnam dan 36,000 terbunuh ketika era Perang Korea.
Dianggarkan seramai 405,000 warga AS meninggal dunia dalam Perang Dunia Kedua, 58,000 lagi ketika Perang Vietnam dan 36,000 terbunuh ketika era Perang Korea.

Walaupun kempen vaksinasi sudah dimulakan di AS sejak pertengahan Disember lalu, menurut portal berita TRT, Universiti Washington menjangkakan lebih 589,000 orang akan meninggal dunia akibat pandemik tersebut sehingga Jun depan.

Buat masa ini, penggunaan pelbagai vaksin seperti Pfizer-BinTech, AstraZeneca-Oxford, Sputnik V, Sinopharm dan Moderna digunakan secara berperingkat-peringkat ke atas sebahagian besar penduduk di dunia untuk membendung penularan Covid-19.

Menurut portal berita Boston.com, Dekan Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Brown, Pulau Rhode, AS, Dr. Ashish Jha berkata, kematian lebih sejuta penduduk negara itu akibat Covid-19 sebagai sesuatu yang tidak pernah dibayangkan akan berlaku.

Dalam ulasannya, beliau berkata, angka kematian itu merupakan salah satu kegagalan terbesar pernah berlaku dalam sejarah AS.

Portal National Geographic melaporkan, jumlah kematian tersebut hampir menyamai penduduk bandar raya Atlanta, Georgia yang mempunyai seramai 488,800 orang pada tahun 2019 dan jika 500,000 keranda disusun berturut-turut ia boleh melibatkan perjalanan sejauh 1,038.03 kilometer iaitu dari bandar raya New York ke Indianapolis di negeri Indiana.

Bilangan kematian itu juga menyamai secara purata pengunjung festival muzik Woodstock di New York pada tahun 1969 apabila akhbar-akhbar melaporkan separuh juta orang hadir bagi meraikan sambutan muzik dan keamanan selama tiga hari itu.

Jumlah kematian itu juga adalah hampir menyamai guru sekolah awam di Indiana, Illinois, Wisconsin, Minnesota, Iowa, Missouri, Nebraska, Kansas dan Oregon yang jika digabungkan bilangannya ialah 499,196 orang pada tahun 2017.

Amerika Syarikat mencatatkan kematian akibat Covid-19 lebih setengah juta orang sejak Isnin lalu. - Foto AFP
Amerika Syarikat mencatatkan kematian akibat Covid-19 lebih setengah juta orang sejak Isnin lalu. - Foto AFP

Menurut CNN, pada 23 Februari 2020, bekas Presiden AS, Donald Trump pernah menyatakan bahawa Covid-19 berada dalam kawalan dan 'tiada kematian' yang sebenarnya menunjukkan ketidaksediaan Amerika untuk menghadapi Covid-19.

Bagaimanapun, menurut portal berita tersebut, krisis itu menyebabkan seorang Presiden ditolak oleh penduduk AS yang didakwa tidak mengutamakan kesihatan rakyatnya berbanding memikirkan tentang kepentingan politiknya.

Pandemik itu kini dikatakan menguji seorang lagi Presiden AS yang baharu mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu dan beliau menumpukan kepada pakej bantuan Covid-19 yang bernilai AS$1.9 juta trilion (RM7.68 trilion) dan dirangka bagi menamatkan penularan virus tersebut di AS.

Keadaan penularan pandemik itu yang masih berlaku di AS menyebabkan Anthony Fauci iaitu Penasihat Perubatan kepada Biden berkata kepada CNN bahawa kemungkinan pemakaian pelitup muka di negara itu masih diperlukan dalam kalangan rakyat Amerika sehingga tahun depan. - Agensi