Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di Banting dan pengarahnya didenda RM120,000 selepas didapati bersalah masing-masing atas empat pertuduhan termasuk menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, denda berkenaan dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis ke atas syarikat itu yang diwakili pengarahnya selaku Orang Kena Saman (OKS).

"Hakim Tengku Shahnizam Tuan Lah telah menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Nor Aziah berkata, mengikut pertuduhan pertama, syarikat dan pengarah syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, syarikat dan pengarah syarikat didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak di bawah Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Sementara pertuduhan keempat, syarikat dan pengarah syarikat didapati gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah,” katanya.

Nor Aziah berkata, kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di kilang tersebut pada 4 Oktober 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: