Cheng Hoe lega Liga-M kekal bermula 5 Mac

TAN CHENG HOE
TAN CHENG HOE
A
A
A

KETUA Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe kini mampu menarik nafas lega dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 pada 5 Mac ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu menyifatkan situasi tersebut akan membantu pemain tampil lebih cergas sebelum menghadirkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijangka bermula 22 Mac.

"Jika liga ditangguhkan dan pemain yang terpilih terus sertai kem latihan, saya rasa sukar untuk menyediakan pemain dengan latihan yang bercorak taktikal, malah boleh mengundang kecederaan serius dalam kalangan pemain.

"Jika situasi itu terjadi, bukan sahaja skuad kebangsaan sahaja yang rugi tetapi kelab juga jika pemain cedera kerana latihan bercorak taktikal ini menuntut intensiti yang tinggi," katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL pada Khamis.

Pada masa sama, beliau menyambut baik keputusan MFL untuk tidak menangguhkan Liga M ke tarikh yang lain kerana ia membantunya menilai pemain-pemain yang mahu dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, Cheng Hoe sedia membuka ruang sekiranya terdapat pemain yang menyerlah dalam lima perlawanan awal liga, namun semuanya bergantung terhadap kualiti dimiliki pemain berkenaan.

"Seperti biasa, kami akan memantau sebarang perkembangan terhadap mana-mana pemain walaupun saya rasakan kita tidak boleh menilai 100 peratus kualiti yang ada pemain tersebut dalam lima perlawanan sahaja.

"Kami akan dapatkan gambaran terhadap pemain yang perlu diserapkan dalam pasukan nanti serta menilai secara keseluruhan sebelum dipanggil sertai pasukan kebangsaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tempoh 22 hingga 30 Mac adalah ruang untuk pasukan negara mengadakan aksi persahabatan dan situasi itu mahu diambil skuad kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat.

Kali terakhir pemain negara dapat berkumpul mengadakan latihan bersama ialah pada November 2019 dan mereka kini masih dalam misi untuk layak ke Piala Asia menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara karnival pada Jun ini.

Liga-M 2021 yang membuka tirai pada 5 Mac ini akan menyaksikan pertembungan antara juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - Bernama