Taufan, cuaca, ombak 'ancam' Khairulnizam

Khairulnizam bakal membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik di Tokyo.
Khairulnizam bakal membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik di Tokyo.
A
A
A

ANCAMAN taufan dan tsunami adalah kemungkinan yang 'menunggu' atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy pada temasya Sukan Olimpik Tokyo Julai depan.

Berdasarkan pengalamannya menyertai kejohanan di Jepun, keadaan cuaca dan ombak di negara tuan rumah yang terletak di Lautan Pasifik itu ternyata tidak boleh dijangka.

Menurut atlet berusia 27 tahun itu, keadaan sebenar hanya dapat diketahui pada hari kejohanan, dan sebagai atlet pelayaran, setiap daripada mereka harus bersedia menempuh segala kemungkinan untuk menamatkan saingan yang diadakan di Enoshima Yacht Harbour pada kedudukan terbaik.

"Keadaan berbeza di setiap venue, Jepun memang tidak dapat dijangka, cuaca boleh menjadi panas dan kekuatan angin boleh jadi macam-macam, kemungkinan untuk taufan juga ada. Di Malaysia, kita berlatih di ombak datar, kalau di Jepun keadaan bergelombang dan berombak.

"Dua tahun lepas, ketika kami menyertai kejohanan di sana, ada satu ketika angin perlahan, satu lagi pula angit kuat. Justeru, kita kena pergi awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu," katanya yang kini menjalani latihan secara kuarantin di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi.

Khairulnizam yang dibimbing jurulatih skuad pelayaran Mohd Afendy Abdullah, yang juga bapanya, layak ke temasya berprestij dunia buat kali ketiga dalam acara laser standard, selepas temasya Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

Berbeza dengan situasi di tempat latihan, pemenang pingat perak acara laser di Sukan Asia 2014 dan 2018 itu berkata keadaan angin di Langkawi tidak memihak kepada persiapan skuad negara kerana hanya menghadapi angin kuat sekitar tujuh hari sebulan, bagi membolehkan mereka menjalani latihan di laut.

Tempoh 'berkurung' di rumah dan pusat latihan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjejaskan rentak atlet negara ke Sukan Olimpik, selain lebih setahun tanpa kejohanan turut memberi kesan kepada persiapan skuad pelayaran negara.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir skuad negara menyertai kejohanan adalah pada Februari tahun lepas di ILCA (International Laser Class Association) World Championship di Melbourne, Australia.

"Kalau ikutkan pelan periodisasi memang sudah lari habis. Jadi, hendak fikir terlalu banyak pun susah juga sebab kita tidak tahu prestasi kita berada di tahap mana sekarang tanpa menyertai sebarang kejohanan dan hanya menjalani latihan dalam negara.

"Atlet dari negara-negara lain seperti Eropah masih dapat meneruskan kejohanan dan kem latihan kerana masih ada banyak kejohanan di sana. Atlet dari benua Amerika serta Australia dan New Zealand juga masih mempunyai kejohanan kompetitif, jadi mungkin mereka ada kelebihan sedikit," katanya.

Biarpun berdepan cabaran getir menjelang Sukan Olimpik yang berbaki lima bulan, Khairulnizam berkata, skuad pelayaran negara tetap membuat persiapan rapi dan mempunyai perancangan untuk menjalani latihan selama sebulan di Sepanyol di samping menyertai kejohanan tempatan di sana, namun ia bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Kemudian, skuad negara akan menyambung latihan di dalam negara dan berlepas ke Jepun pada awal Jun bagi menyesuaikan diri selain menyertai kejohanan tempatan di sana.

"Untuk Olimpik, saya tidak boleh meletakkan harapan tinggi sangat, saya cuba untuk lebih relevan kerana persiapan kita tidak lancar seperti kebiasaannya sebab Covid-19 ini. Kita sedikit ketinggalan dalam persiapan berbanding yang lain.

"Saya perlu tengok dulu kejohanan-kejohanan yang akan disertai sebelum Olimpik, kemudian baru saya akan tengok macam mana kita punya prestasi dan apa kita boleh sasar untuk Olimpik," katanya.

Selain Khairulnizam, tiga pelayar yang turut mengesahkan tiket ke Tokyo ialah Nur Shazrin Mohd Latif dalam acara laser radial wanita, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470).

- Bernama