Dua ejen broker tanah hina anggota polis ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua ejen broker tanah ditahan kerana disyaki menghina dan menghalang tugas anggota polis di Damansara pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta BMW yang dinaiki seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.20 tengah malam.

"Semasa hendak melakukan pemeriksaan, kedua-dua suspek berusia 28 dan 33 tahun itu enggan bekerjasama serta tidak berpuas hati terhadap polis yang menahan mereka.

"Suspek wanita tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis manakala suspek lelaki pula cuba mempertikaikan tugas anggota terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua individu yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan," katanya.

Artikel Berkaitan: