MYFutureJobs bantu 185,493 individu peroleh pekerjaan

Datuk Seri M Saravanan
Datuk Seri M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs berjaya membantu seramai 185,493 individu memperoleh pekerjaan sehingga 23 Februari lalu sejak dilancarkan Jun 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 161,603 merupakan penempatan pekerjaan bagi tahun lalu.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) meletakkan sasaran kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam jumlah penempatan pekerjaan menerusi MYFutureJobs tahun ini berbanding tahun lalu.

"Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berperanan sebagai broker pekerjaan, menerusi portal MYFutureJobs menawarkan 137,041 kekosongan jawatan aktif sehingga 24 Februari 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 KSM dan Pelancaran Portal MYFutureJobs secara maya pada Khamis.

Perasmian majlis itu disempurnakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 KSM itu berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu bagi memastikan manfaat PenjanaKerjaya 2.0 menjangkau lebih ramai rakyat di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Saravanan memberitahu, seramai 146,258 individu diambil bekerja oleh majikan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya sehingga 23 Februari lalu, yang melibatkan 18,653 majikan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, lebih RM354.34 juta telah dibayar sebagai insentif di bawah Program PenjanaKerjaya 1.0 dan 2.0," katanya.

Katanya, seramai 78 majikan mengambil bahagian dalam karnival maya itu dengan lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

"Sepanjang hari pertama sesi temu duga dalam talian yang berlangsung Rabu, seramai 1,473 pencari kerja telah menjalani temu duga dan 51 orang sudah diambil bekerja.

"Seramai 16,294 mendaftar sehingga semalam dan ini termasuklah 149 dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang mana terdapat 1,896 jawatan kosong yang ditawarkan untuk golongan tersebut," katanya.

Jelas beliau, pencari kerja masih berpeluang menghadiri temuduga secara dalam talian ini kerana esok hari terakhir sesi temuduga terbuka.

"Sempena Karnival PenjanaKerjaya tahun ini, suatu inisiatif baharu iaitu #TogetherWeStand, yang diilhamkan bersama oleh KSM dan Kementerian Kewangan, diperkenalkan bertujuan menggalakkan majikan berganding bahu dengan kerajaan menangani kadar pengangguran negara," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Portal MYFutureJobs Perkeso memudahcara proses carian dua hala, iaitu mencari dan menawarkan pekerjaan.

"Melalui perkhidmatan kaunseling, penyediaan resume dan pembuatan profil bagi pencari kerja, serta pendaftaran kekosongan jawatan bagi majikan, saya difahamkan bahawa MYFutureJobs yang berlandaskan teknologi 'Artificial Intelligence' dapat memadankan profil pencari kerja dengan pekerjaan pilihan secara tepat.

"Ini juga dapat membina keupayaan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) menilai dan memahami trend pasaran buruh, satu keupayaan yang amat penting bagi mengenalpasti sektor-sektor yang mempunyai permintaan tinggi dan bagi penggubalan dasar," katanya.

Katanya, beliau difahamkan bahawa perkhidmatan MYFutureJobs itu juga diperluaskan kepada individu bukan pencarum Perkeso yang ingin mendapat pekerjaan baharu.

"MYFutureJobs berperanan sebagai pusat hentian setempat dan rujukan utama bagi inisiatif berkaitan pekerjaan, termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula," katanya.