X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Annuar buat 'comeback'

Annuar berjaya membawa Kelantan mencipta kemasyhuran ketika menerajui KAFA sebelum ini.
A
A

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan untuk kembali 'menghangatkan' arena bola sepak Malaysia.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada Khamis, Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dari 2007 hingga 2016 menyatakan persetujuan untuk menjadi Presiden Kuala Lumpur United (KL United).

Bagaimanapun, Annuar yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2010 hingga 2014 meletakkan beberapa syarat bagi menggalas jawatan tersebut.

"Setelah menimbangkan jemputan dan rayuan mereka (KL United), saya bersetuju menerima tawaran tersebut dengan syarat tawaran itu mestilah atas kapasiti peribadi saya, dan bersifat sukarela tanpa memegang apa-apa kepentingan dan tidak menerima apa-apa ganjaran.

"Saya sekadar berkongsi pengalaman dan membantu memajukan pasukan KL United serta memajukan sukan tersebut di Kuala Lumpur. Saya berharap pasukan KL United dapat turut menyumbangkan sesuatu kepada komuniti dan warga Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, KL United dalam kenyataan di Facebook rasmi mereka pada Khamis turut mengumumkan Annuar sebagai Presiden "The Patron" kelab berkenaan.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri (Annuar). Kami yakin dengan masa depan yang lebih cerah bersama Tan Sri," menurut kenyataan KL United.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!