Mahkamah Tinggi kekal hukuman penjara Penolong Pengurus The Star

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengekalkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM100,000 yang dijatuhkan ke atas bekas penolong pengurus di jabatan pengarang akhbar harian berbahasa Inggeris The Star kerana menerima rasuah sebanyak RM20,000 pada 2017.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas menolak rayuan M Youganesparan, 57, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2018.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, bukti yang dikemukakan berhubung dakwaan tertuduh menerima rasuah amat meyakinkan kerana wang kertas berjumlah RM20,000 dalam denominasi RM100 itu telah ditanda.

"Ia juga telah disenarai dan didokumenkan dengan betul. Saksi pendakwaan kelapan (SP8) Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata beliau telah memberikan wang kertas bertanda itu kepada tertuduh.

"Ini telah disaksikan SP1, SP2, SP3 dan SP4 yang melihat insiden itu kerana ia berlaku di depan mata mereka. Mereka duduk di meja berasingan yang terletak bersebelahan meja di mana SP8 dan tertuduh duduk.

"Keduanya, tertuduh berkata dia telah menerima wang itu daripada SP8 untuk menubuhkan sebuah syarikat. Dalam sebarang kemungkinan, adalah lebih bijak dan masuk akal jika bayaran RM20,000 dilakukan secara dalam talian atau menggunakan cek atau cek jurubank berbanding wang tunai.

"Apatah lagi, ia bukan dimaksudkan bagi pembelian tunai atau transaksi tunai segera. Ini jelas dilakukan atas alasan keselamatan diri, dan tertuduh sebagai petugas dalam media arus perdana, seharusnya lebih peka dengan fakta ini.

"Jadi mengapa pembayaran itu perlu dibuat secara tunai," soal hakim itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shahrir berkata, oleh itu beliau tidak mempunyai sebarang alasan untuk campur tangan.

“Dengan ini saya menolak rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan mengekalkan keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan Youganesparan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM40,000 kepada RM50,000.

Peguam M Manoharan dan Anis Salihah Abdul Malik mewakili tertuduh manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Natrah Fareha Rahmat and Nurshafini Mustapha.

Hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah telah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM100,000 atau penjara 10 bulan ke atas Youganesparan selepas mendapati tertuduh bersalah menerima rasuah daripada Mohd Emir, 57, sebagai dorongan agar pegawai SPRM menutup kes yang membabitkannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Youganesparan di Dome Cafe, Vista Power, The Intermark, Jalan Tun Razak di sini pada 9.15 malam 30 Mei 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama