PSV guna suis automatik atasi isu bekalan elektrik

Dr Sha'ari ketika ditemui ketika sidang media Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Selangor di Hospital Shah Alam, pada Khamis.
Dr Sha'ari ketika ditemui ketika sidang media Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Selangor di Hospital Shah Alam, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam hospital di Selangor yang dipilih sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dengan Peti Simpanan Suhu Ultra Rendah (ULTF) dilengkapi dengan sistem suis automatik bagi mengatasi masalah terputus bekalan elektrik.

Enam Hospital terbabit ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tanjung Karang.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kesemua PSV perlu mempunyai bekalan elektrik sepanjang masa untuk menjaga kualiti vaksin jenis Pfizer-BioNtech yang disimpan pada suhu sangat rendah iaitu -70 darjah celcius.

Menurutnya, suis automatik yang disambung kepada penjana kuasa akan terus berfungsi jika PSV terbabit terputus bekalan elektrik.

"Kita juga akan menggunakan sistem suis automatik iaitu sebuah penjana kuasa yang berfungsi mengekalkan sumber elektrik jika tempat tersebut mengalami gangguan elektrik," katanya di Hospital Shah Alam, di sini pada Khamis selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Dr Sha'ari yang turut disuntik vaksin Covid-19 menasihatkan orang ramai supaya tidak takut untuk mengambil suntikan vaksin tersebut.

Ujarnya, proses pengambilan suntikan vaksin tidak menyakitkan kerana dos yang diperlukan amat sedikit.

"Dos vaksin yang disuntik ke dalam badan amat sedikit iaitu sebanyak 0.3 mililiter sahaja tetapi dapat membantu melindungi diri dan kita semua.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita menyeru kepada orang ramai supaya tidak takut mengambil suntikan ini kerana ia prosedur biasa dan tidak meninggalkan sebarang kesakitan," katanya.

Pada Khamis, seramai 42 individu terdiri daripada pemimpin kerajaan negeri Selangor, Exco dan wakil agensi kerajaan negeri menerima suntikan vaksin di Hospital Shah Alam.

Antara yang menerima suntikan vaksin tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid.