X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Pfizer-BioNTech 94 peratus efektif

Vaksin Pfizer-BioNTech yang turut dihasilkan bersama pasangan saintis Muslim di Jerman terbukti berkesan menerusi beberapa kajian sebelum ini. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Vaksin Pfizer-BioNTech terbukti 94 peratus berkesan melalui kajian terbesar dunia nyata membabitkan 1.2 juta penduduk di Israel yang sekali gus mengesahkan kekuatan kempen imunisasi secara besar-besaran untuk menghentikan pandemik Covid-19.

Laporan penyelidikan yang diterbitkan menerusi New England Journal of Medicine pada Rabu turut menunjukkan kemungkinan terdapat manfaat perlindungan yang kuat terhadap jangkitan yang merupakan elemen penting untuk menghentikan penularan wabak tersebut.

Eksperimen itu dilakukan ketika varian baharu dikenal pasti di United Kingdom (UK) antara 20 Disember 2020 dan 1 Februari 2021.

Kira-kira 1.2 juta individu yang mempunyai jantina, umur, rekod perubatan dan ciri lain yang sama dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu tidak divaksin dan menerima vaksin.

Ketua Pusat Penyelidikan dan Epidemiologi di Institut Penyelidikan Clalit di Tel Aviv, Noam Barda memaklumkan kumpulan penyelidik itu merekodkan keputusan dalam tempoh 14-20 hari selepas pemberian dos suntikan pertama dan selepas dos suntikan kedua.

Laporan mereka mendapati suntikan dos pertama berkesan memberi perlindungan terhadap jangkitan asimptomatik pada kadar 57 peratus dan meningkat kepada 94 peratus dalam tempoh tujuh hari selepas suntikan dos kedua.

Keputusan diperoleh Institut Penyelidikan Clalit itu dikatakan sangat hampir dengan tahap keberkesanan 95 peratus melalui pemberian dua dos suntikan ketika ujian klinikal fasa ketiga pada tahun lalu.

Individu yang menerima dos suntikan kedua juga didakwa berpotensi lebih rendah pada tahap 92 peratus untuk mendapat sebarang bentuk jangkitan berbanding individu yang tidak divaksin.

Sebelum ini, dua kajian berasingan di UK juga menunjukkan dua dos suntikan juga dapat mengurangkan risiko kematian, jumlah individu yang dirawat di hospital berkurangan dan mengekang penularan wabak itu. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!