X

Kindly register in order to view this article
!

Tapir 'ziarah' sekolah ketika pelajar duduki SPM

Seekor tapir jantan dewasa yang tersekat di dalam longkang berjaya dikeluarkan anggota Perhilitan dibantu APM di SMK Sungai Soi pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - Suasana bertukar kecoh ketika pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas seekor tapir ‘menziarahi’ sekolah berkenaan pagi Khamis.

Pengetua SMK Sungai Soi, Zolkifli Abd Ghani berkata, beliau dimaklumkan kakitangan bertugas kira-kira jam 10.30 pagi pada Khamis mengenai kehadiran haiwan berkenaan di kawasan sekolah sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

Beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba setengah jam kemudian dan melakukan kerja-kerja mengeluarkan tapir yang terjatuh ke dalam longkang sekolah itu.

“Insiden ini bukan yang pertama, sudah banyak kali, kami cuma bimbang haiwan itu merayau di dewan peperiksaan yang akan mengakibatkan pelajar sedang mengambil peperiksaan Pendidikan Seni dan Sejarah terganggu dengan kehadirannya,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin ketika dihubungi berkata, sekumpulan anggotanya telah digerakkan ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengeluarkan haiwan yang dianggarkan seberat 200 hingga 250 kilogram itu enam jam kemudian.

Beliau berkata, tapir jantan dewasa itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sekolah berkenaan ketika memakan daun pokok nangka berhampiran.

“Terdapat luka di bahagian belakang tapir itu akibat menyusur blok simen sepanjang longkang berkenaan, bagaimanapun pemerhatian awal tiada kecederaan di bahagian kaki akibat terjatuh longkang.

“Kita akan berikan rawatan sekiranya kecederaannya tidak serius sebelum dilepaskan semula di kawasan hutan,” katanya.

Sementata itu, jurucakap APM Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.58 pagi sebelum enam anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mengeluarkan tapir agak sukar kerana saiznya yang besar dan berada di dalam longkang yang sempit, kami telah cuba mengeluarkan haiwan tersebut menggunakan tali tetapi tidak berjaya.

“Justeru, kami telah menghubungi Perhilitan untuk meminta bantuan mereka sebelum haiwan berkenaan dikeluarkan kira-kira jam 5.10 petang,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!