X

Kindly register in order to view this article
!

991 'frontliners' terima suntikan vaksin di IKN bermula Isnin

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Institut Kanser Negara (IKN) yang berperanan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan melaksanakan proses vaksinasi Covid-19 kepada 991 petugas barisan hadapan bermula Isnin depan.

Pengarah IKN, Dr Mohd Anis [email protected] berkata, senarai nama mereka yang akan menerima vaksin di IKN telah diperoleh dan pihaknya kini melaksanakan persiapan rapi bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

"Persiapan rapi telah dilakukan dan kami mempunyai keupayaan untuk melaksanakan suntikan kepada petugas barisan hadapan. Proses pemberian vaksin akan dibuat di ruang foyer di IKN bagi memberi keselesaan kepada penerima vaksin," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan proses pemberian vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech kepada 54 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan bertugas di PPV sekitar Putrajaya di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Anis berkata, pihaknya menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada 200 individu setiap hari dengan proses pemberian vaksin di IKN dijangka selesai pada Jumaat.

"Proses pemberian vaksin kepada 991 penerima ini akan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang, memang kita jangka akan beri 200 suntikan sehari kerana kita mempunyai lapan orang pemberi vaksin yang bertugas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, proses suntikan vaksin akan mengambil masa antara 10 dan 15 minit dengan penerima vaksin diwajibkan untuk melalui lima stesen yang dikhas di PPV seperti disarankan oleh KKM.

Lima stesen itu ialah stesen saringan gejala dan suhu, pendaftaran, proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, suntikan vaksin Covid-19 dan pemerhatian.

"Untuk proses di stesen pemerhatian, ia akan mengambil masa 30 minit kerana pegawai perubatan akan memeriksa sama ada penerima vaksin mengalami sebarang kesan sampingan," katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bertemakan 'Lindung Diri, Lindung Semua' dilaksanakan dalam tiga fasa bermula pada Rabu dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!