Kes bunuh 9 tahun lalu disiasat, warga emas direman

Suspek dipercayai terlibat kes bunuh sembilan tahun lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Parit hari ini untuk proses permohonan perintah tahanan reman.
Suspek dipercayai terlibat kes bunuh sembilan tahun lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Parit hari ini untuk proses permohonan perintah tahanan reman.
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang warga emas ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu kes pembunuhan kejam dalam satu serbuan menerusi Ops Cantas/Kesan di sebuah rumah di Taman Bemban Suria di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang juga pemastautin tetap berusia 63 tahun dan bekerja sebagai kontraktor ditahan kira-kira jam 1.30 pagi.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan dan siasatan lanjut dan sekarang ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Februari ini,

"Penahanannya dilakukan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang buruh lelaki warga Indonesia sembilan tahun lalu," katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat Rofik Rahman, 22, ditemui dengan kesan luka pada bahagian muka dan badan tanpa dokumen pengenalan diri di sebuah rumah di Bota dekat sini pada jam 8.25 malam 6 Mei 2010.

"Hasil pemeriksaan mangsa ketika itu mendapati dia ditetak tiga kali di sebelah kiri muka, leher dua kali dan dua kali di dada selain ditikam di perut sebanyak dua kali sehingga tali perutnya terkeluar.

“Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa mendapati dia disahkan meninggal dunia disebabkan tikaman dan luka pada jantung. Motif pembunuhan disyaki berpunca daripada masalah hutang mangsa dengan suspek," katanya.

Mohamad Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel Berkaitan: