Pemuda UMNO, Pas sepakat jalankan inisiatif sanitasi secara percuma

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO dan Pas bersepakat untuk menggerakkan jentera secara bersama di seluruh Malaysia bagi menjalankan inisiatif sanitasi atau nyahkuman secara percuma dalam usaha mencegah virus Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan pada Khamis, fokus gerak kerja bersama itu akan ditumpukan di kawasan awam terutamanya masjid, surau dan rumah ibadat termasuklah sekolah-sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan.

“Bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan inisiatif ini, Sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO dan Jabatan Amal Malaysia seluruh Parlimen akan turut digembleng dan digerakkan secara bersepadu,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

Tambahnya kedua-duanya, diharapkan agar kesepakatan dan kerjasama melalui usaha murni antara Pemuda UMNO dan Pas dapat membantu rakyat bagi mengurangkan risiko terdedah kepada ancaman pandemik Covid-19.

“Moga khidmat bakti dan kerja amal yang dilakukan secara bersama ini diterima Allah sebagai amal soleh yang diredainya,” ujar mereka.

Artikel Berkaitan: