X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Masalah capaian internet Tanjong Karang selesai Disember 2022

Noh (tiga dari kanan) mengadakan Lawatan Turun Padang bersama SKMM di Pusat Internet Kampung Sungai Sireh di sini pada Khamis.
A
A

TANJONG KARANG - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka menangani masalah capaian internet membabitkan 15 daripada 31 kawasan di Parlimen Tanjong Karang pada Disember 2022.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, menerusi sesi taklimat bersama Pengarah SKMM Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ismail Othman memaklumkan masalah di kawasan terlibat akan diatasi secara berperingkat.

Menurutnya, terdapat tiga fasa bagi menangani perkara itu termasuk menaik taraf liputan sedia ada dan cadangan pembinaan menara komunikasi baharu.

"Setakat ini SKMM sudah melakukan tinjauan di lokasi berkenaan dan tindakan menguji kekuatan isyarat juga sudah dijalankan sejak Jun tahun lalu.

"Bagi pelan jangka panjang, akan dibina menara baharu di bawah Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) di kawasan ini," katanya ketika Lawatan Turun Padang bersama SKMM di Pusat Internet Kampung Sungai Sireh di sini pada Khamis.

Noh berkata, selain itu, perkhidmatan akses jaringan Internet Tanpa Wayar (WiFi) di kawasan terbabit juga akan dipertingkatkan menerusi penggunaan internet fiber yang mampu menawarkan kelajuan sambungan yang stabil.

"Ia sejajar untuk menyediakan pilihan sambungan kepada lebih ramai pelanggan menerusi tawaran internet fiber," katanya.

Beliau berkata, liputan internet di Parlimen itu merupakan satu keperluan bagi membolehkan rakyat mendapat akses internet secara menyeluruh.

"Apabila projek pembinaan Hospital Tanjong Karang siap, sudah tentu kawasan ini menjadi tumpuan dan perkhidmatan internet amat diperlukan bagi membolehkan rakyat mendapat akses lebih baik," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!