Pembela gesa MAIN buat kajian terperinci undang-undang jenayah Islam

Aminuddin (tengah) ketika sidang media Pembela di Pejabat Pertubuhan Muafakat, Ampang pada Khamis.
Aminuddin (tengah) ketika sidang media Pembela di Pejabat Pertubuhan Muafakat, Ampang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) pada Khamis menggesa pihak berkuasa agama melakukan kajian terperinci terhadap undang-undang jenayah Islam.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, Majlis Raja-Raja perlu terlibat menasihati pihak bertanggungjawab untuk menyegerakan penambahbaikan undang-undang itu.

Pembela juga mahu kerajaan meneliti semula Perlembagaan dan menubuhkan satu jawatankuasa yang sesuai dengan status Malaysia sebagai negara Islam.

“Ini tidak bermakna kami menolak atau mengetepikan agama lain seperti yang ada dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Muafakat.

Turut Hadir, Timbalan Presiden Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Setiausaha Agung Pembela, Mahmud Hishamuddin.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan usul dikemukakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu bakal menjadi permulaan titik hitam kepada perundangan jenayah syariah dalam negara.

“Tindakan tersebut akan menjadi jenayah untuk mencabar kelakuan atau peruntukan jenayah syariah pada masa hadapan.

“Kami khuatir pada akhirnya, Mahkamah Syariah tidak lagi boleh mengadili kelakuan yang menjadi jenayah dalam agama Islam.

“Jadi sudah tentu ia menjadi senario yang tidak adil kepada bukan sahaja hukum syariah tetapi kepada umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.