AIM nafi akan diambil alih syarikat korporat

AIM
AIM
A
A
A

SHAH ALAM – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menafikan institusi itu akan diambil alih oleh syarikat korporat sebagai timbal balik penyelesaian baki hutang dengan kerajaan Malaysia sebanyak RM600 juta seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Kesejahteraan AIM dalam satu kenyataan pada Khamis sebaliknya berkata, institusi itu sedang berusaha mengembangkan lagi peranannya menjadi sebuah Bank Digital yang dilesenkan oleh Bank Negara tanpa menjejaskan Skim Pinjaman Mikro khusus untuk Sahabat AIM.

“AIM juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas meneliti setiap cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak yang berminat dalam usaha sama ini bagi memastikan kepentingan AIM, Sahabat dan kakitangan sedia ada menjadi teras paling utama," kata AIM.

Kenyataan itu juga menyebut, AIM mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kerajaan untuk memohon penstrukturan semula bayaran balik baki pinjaman selain komited membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan khususnya dalam kalangan wanita berpendapatan rendah (B40).

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pada awal bulan ini terdapat perbincangan ahli lembaga AIM untuk menukar institusi itu kepada syarikat.

Memetik sumber, portal itu melaporkan antara sebab AIM perlu membayar baki hutang kira-kira RM600 juta kepada kerajaan atau ia berisiko diambil alih kerajaan.

Dalam pada itu, bagi isu membabitkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KEPAIM) yang mendakwa AIM gagal menyerahkan yuran bulanan sejak 10 bulan lalu berjumlah RM146,292 ianya dianggap selesai seperti yang dinyatakan menerusi kenyataan media dikeluarkan pada Selasa lalu.

“Fokus utama AIM pada 2021 ialah membantu Sahabat dari sudut pemasaran digital di samping menambah baik aspek pinjaman, kaedah pembayaran balik pinjaman serta tadbir urus di peringkat pengurusan dan lapangan,” katanya.

Artikel Berkaitan: