Saya masih dalam fasa percubaan: Nonny Nadirah

A
A

SELEPAS pelawak dan pengacara Jihan Muse, seorang lagi selebriti wanita cantik, Nonny Nadirah memilih untuk berhijrah dan memakai tudung selepas pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.

Menurut Nonny, pada mulanya dia masih tidak bertudung selepas pulang. Namun selepas sehari kemudian, hatinya tiba-tiba terdetik untuk berbuat demikian dan terus membeli tudung.

“Selepas balik dari mengerjakan ibadah umrah saya masih freehair lagi, pergi program pun tak pakai tudung. Selepas sehari kemudian saya terdetik mengajak sahabat saya untuk teman saya pergi membeli beberapa helai tudung.

“Saya mengadu dengan mak saya, kalau nak bertudung baju semua macam mana? Sebab banyaknya baju-baju saya tidaklah sesuai untuk dipakai dengan tudung dan macam mama sendiri maklum saya bukannya ada banyak tudung. Banyak dibeli sebelum ni pun hanyalah untuk mama.

“Mama pun jawab dengan nada yang tenang, jika niat kamu sudah ada dan terdetik untuk memakai tudung, Insya-ALLAH akan permudahkan urusan kamu. Hidayah memang milik ALLAH dan daripada ALLAH tapi kita sendiri yang kena paksa diri kita untuk menguatkan hati berubah ke arah yang lebih baik,” kongsi Nonny di laman Instagram milikinya.

Dalam pada itu, pelakon drama Cekelat Honey ini mengakui dia masih dalam fasa percubaan dan mengambil sedikit masa untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik.

“Saya masih di dalam fasa percubaan dan bagilah masa kepada diri saya untuk memperbaiki diri hari demi hari bukan disebabkan makhluk tetapi kerana ALLAH ta’ala.

“Terima kasih kepada yang mendoakan, keluarga, peminat dan kawan-kawan. Siap ada yang emel dan DM (direct message) private kat saya. Doa-doa dan kata-kata semangat korang membuatkan air mata saya mengalir tak henti-henti.

“Akan tetapi janganlah dikeji atau dikecam bila mana selepas ini jika ada kekurangan dari diri saya. Kita semua manusia biasa. Mungkin hari ini saya keluar hanyalah menggunakan shawl, insya-ALLAH esok hari saya dah boleh memakai tudung dengan sempurna. Doa yang baik-baik,” katanya yang mengakui tidak mudah untuk membiasakan diri dengan penampilan terbarunya itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia