Penghantar makanan didakwa ugut sebar video, gambar lucah tunang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis atas dua pertuduhan mengugut mahu menyebarkan video dan gambar lucah tunangnya serta menyimpan item itu di dalam telefon bimbit, Januari lalu.

Muhammad Nuraiman Abdul Shukor, 22, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Gombak Permai, Gombak pada jam 10 malam 24 Januari lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa telah menyimpan video dan gambar lucah mangsa yang berusia 21 tahun itu di dalam galeri telefon bimbit miliknya di Pejabat Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada jam 5.30 petang 25 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 292 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan manakala peguam G. Visvanathan Nair, yang mewakili Muhammad Nuraiman, memohon jaminan rendah.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan: