3,880 kompaun dikeluarkan gagal patuhi SOP Covid-19 di Melaka

Rahmad Mariman
Rahmad Mariman
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 3,880 kompaun bernilai RM3.88 juta dikeluarkan pihak berkuasa terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sejak Mac 2020 sehingga PKP Bersyarat (PKPB) di negeri ini pada 23 Februari lepas.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) termasuk tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau merekodkan nama serta nombor telefon sebelum memasuki premis, merekodkan kesalahan tertinggi dengan 2,549 kes.

Beliau berkata, ia diikuti kesalahan larangan pergerakan iaitu sebanyak 540 kes, larangan berhimpun (406 kes), mengusaha atau menjalankan aktiviti terlarang (258 kes), larangan pergerakan merentas sempadan daerah dan negeri (122 kes) dan ingkar arahan pegawai diberi kuasa (lima kes).

"Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan itu, sebanyak 1,959 atau 50.5 peratus telah dibayar dengan nila lebih RM1.78 juta.

"Sebanyak 389 notis amaran dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 18,350 premis telah diperiksa melibatkan pelbagai sektor ekonomi dalam tempoh tersebut," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Pematuhan PKP Bersyarat di Jalan Hang Tuah di sini, pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Ismail Ali dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr Noor Aizam Mohd Said.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, sebanyak 317 kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk mendapatkan keizinan pendakwaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 160 kertas siasatan telah mendapat izin mendakwa.

Beliau berkata, 16 kes telah dijatuhkan hukuman iaitu 15 kes dikenakan denda berjumlah RM8,600 manakala satu kes dihukum penjara kerana gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi 1,604 kompaun yang belum dibayar, sebahagian kertas siasatan sedang dilengkapkan dan sebahagian lagi masih dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan kepada mereka.

"Tindakan penguatkuasaan dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi membendung penularan Covid-19 dengan menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya. - Bernama