Sabah siap sedia laksana program imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Hajiji ketika dalam mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Kota Kinabalu.
Hajiji ketika dalam mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah telah melakukan segala persiapan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, persiapan itu termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

"Di peringkat daerah dan akar umbi, pegawai daerah serta pemimpin komuniti di kawasan terbabit akan memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan program ini.

“Sabah telah membuat persiapan yang diperlukan serta bersedia untuk melaksanakan usaha vaksinasi ini," katanya dalam mesyuarat libat urus menerusi sidang video dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas bagi Memastikan Akses Kepada Bekalan Vaksin Covid-19 di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini pada Khamis.

Hadir sama Safar, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Bahagian Keselamatan Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof.

Hajiji sependapat dengan Khairy mengenai keperluan menubuhkan unit bergerak bukan hanya untuk memberikan suntikan vaksin tetapi juga mendaftarkan mereka yang berada di kawasan yang jauh.

Dalam hal ini, beliau berkata langkah sewajarnya turut diambil bagi menyebarkan maklumat dalam pelbagai bahasa etnik berhubung program itu di peringkat akar umbi menerusi sumber Jabatan Penerangan.

"Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Sabah pada Khamis dan program vaksinasi akan dijalankan dalam tiga fasa dengan yang pertama kepada petugas barisan hadapan (104,130 orang) dan fasa kedua bagi kumpulan berisiko tinggi (kira-kira 268,000 orang).

Artikel Berkaitan:

"Fasa ketiga adalah bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas (kira-kira 2.7 juta orang)," katanya sambil menambah bahawa sebanyak 195 Pusat Pengagihan Vaksin (93 di bawah Kementerian Kesihatan dan 102 lagi di bawah agensi lain) telah ditubuhkan di Sabah.

Hajiji turut menasihati penduduk di Sabah agar mendaftar untuk memudahkan program vaksinasi dan memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu, yang boleh dilakukan melalui aplikasi mySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my manakala mereka yang tidak memiliki telefon pintar, terutama warga emas, boleh didaftarkan sebagai tanggungan melalui anak-anak mereka.

Pendaftaran juga boleh dilakukan secara manual di fasiliti kesihatan awam berhampiran seperti hospital, pejabata kesihatan daerah atau klinik kesihatan.

"Setakat ini, hanya kira-kira 30 peratus warga emas berusia 60 tahun dan ke atas telah mendaftar dalam mySejahtera bagi program imunisasi di Sabah," katanya sambil menambah bahawa adalah mustahak untuk semua orang di Sabah mendaftar bagi program itu kerana "kita ingin memutuskan rantaian jangkitan pandemik.”

Mengenai isu vaksin itu yang turut diberikan kepada warga asing di Sabah seperti yang dinyatakan oleh Khairy, Hajiji berkata kerajaan negeri sekali lagi akan mendapatkan kerjasama majikan pekerja asing.

Beliau berkata sebelum ini, kerjasama majikan terbabit telah diminta bagi memastikan agar semua pekerja mereka menjalani ujian calitan Covid-19.

"Kami juga telah memaklumkan pasukan keselamatan bahawa ini bukanlah masanya untuk memeriksa dokumen yang berkaitan... kita perlu memastikan semua orang yang berada di Sabah diberikan vaksin. Kita tidak akan selamat selagi semua yang berada di Sabah tidak diberikan vaksin," katanya.

Menjawab soalan Khairy, Hajiji berkata beliau akan tampil sebagai orang pertama yang mendapatkan suntikan vaksin itu di Sabah. - Bernama