Kerjaya prospek optimis dengan tahun kewangan 2021

Tee Eng Ho
Tee Eng Ho
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB) secara berhati-hati tetap optimis tetapi akan terus meneliti keadaan pasaran dan mengubah strategi perniagaan sewajarnya bagi menghadapi cabaran serta menjamin prestasi kewangannya.

Pengerusi Eksekutif KPGB, Datuk Tee Eng Ho berkata, walaupun 2021 dijangka akan menjadi tahun pemulihan, pasaran global dan domestik tetap tertakluk kepada tahap ketidaktentuan yang tinggi memandangkan keberkesanan vaksin masih belum terbukti.

''Kami sudah bersedia apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua pada awal tahun ini serta kami berjaya mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan segera bagi membolehkan semua tapak kami untuk terus beroperasi.

''Oleh itu, ini membantu kami mengurangkan kesan ke atas operasi syarikat,'' katanya kepada pemberita semasa taklimat maya suku keempat kumpulan itu 2020 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun sektor pembinaan akan kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan, dengan pemulihan secara beransur-ansur dalam sektor hartanah yang disokong oleh pemulihan ekonomi termasuk kadar faedah yang rendah, KPGB telah memutuskan untuk melancarkan dua projek pembangunan hartanah baharu iaitu Pembangunan Tanah Yakin dan Pembangunan Monterez pada separuh kedua 2021.

“Walaupun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar, kami berbesar hati kerana masih dapat memberikan pendapatan dan nilai yang mampan kepada pemegang saham kami, disokong oleh pasukan pengurusan berpengalaman yang terus berjaya menyampaikan projek kami tepat pada masanya sambil mengekalkan kos kepada minimum.

''Kami berjaya mencapai penambahan tempahan dalam tangan yang memadai sebanyak RM1.5 bilion pada tahun kewangan 2020, yang membawa jumlah tempahan dalam tangan tertunggak kepada RM3.5 bilion setakat 31 Dis 2020,'' katanya, sambil menambah 99.6 peratus daripada hasil kumpulan dalam tahun kewangan 2020 datang dari bahagian pembinaan.

Sebelum itu, KPGB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata keuntungan bersih syarikat susut kepada RM27.82 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis 2020 berbanding RM36.27 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan berkurangan kepada RM248.85 juta daripada RM268.41 juta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi tahun kewangan penuh 2020, keuntungan bersih KPGB berkurangan kepada RM90.59 juta berbanding RM140.18 juta yang direkodkan setahun sebelum ini, hasil juga menurun kepada RM810.99 juta daripada RM1.05 bilion.

Penyusutan perolehan ini disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah yang dicatatkan dalam segmen pembinaan, pembuatan dan pembangunan hartanah, akibat PKP serta dua tapak projek yang dihentikan selama dua minggu akibat jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja. - Bernama