Rawatan sakit belakang kronik melalui suntikan

DR ANWAR SAMHARI
DR ANWAR SAMHARI
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang mengalami masalah sakit belakang kronik kini tidak perlu lagi menjalani pembedahan kerana boleh mendapatkan rawatan intervensi menerusi suntikan.

Pakar Rheumatology dan Sakit Kronik dari Pusat Pakar Sendi, Urat dan Tulang Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Md Arshad berkata, kaedah itu lebih selamat dengan masa rawatan dan pemulihan yang lebih singkat berbanding kaedah pembedahan.

"Menerusi rawatan intervensi ini, umpamanya sekiranya ada cakera tulang belakang (disc) yang bengkak, kita akan suntik melalui kulit terus ke bahagian sendi dan melalui radio frekuensi kita kecutkan 'disc' yang bengkak itu.

"Di Malaysia sekarang, pembedahan tulang belakang yang dipanggil 'laminektomi' iaitu mengikis tulang belakang dan diletakkan skru besi sudah tidak popular sebab ada rawatan intervensi," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk 'Sakit belakang, semua orang berisiko' yang dikendalikan moderator Haslina AR Kamaludin di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Anwar berkata, menerusi kaedah rawatan intervensi, pesakit boleh discaj hanya dalam masa sehari dan tidak perlu mengambil cuti sakit yang panjang.

"Ia berbeza berbanding pembedahan memasukkan besi yang masa pembedahan sahaja memakan masa berjam-jam, perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan perlu berada dalam wad berminggu-minggu untuk proses pemulihan.

"Sebab itu pakar-pakar seperti saya dan pakar ortopedik memulakan kaedah rawatan intervensi ini kerana lebih selamat dan berkesan berbanding pembedahan yang besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suntikan yang dilakukan juga kadangkala hanya mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit dan ia juga boleh dibuat secara rawatan harian tanpa perlu dimasukkan ke wad.

"Jadi rawatan tulang belakang kronik yang dahulunya agak sukar dirawat, sekarang sudah berbeza kerana tidak perlu lagi menjalani pembedahan yang besar," katanya.

Sementara itu, Dr Anwar Samhari berkata, semua orang akan mengalami sakit belakang walaupun sekali seumur hidup, namun 10 peratus daripadanya sahaja yang memerlukan rawatan.

Katanya, dari 10 peratus itu, kebanyakannya lapan peratus daripadanya sembuh sementara dua peratus sahaja yang perlu mendapatkan rawatan.

"Antara pekerjaan yang berisiko untuk mendapat sakit belakang adalah yang terpaksa duduk dalam tempoh lama melebihi 90 minit yang boleh menyebabkan peredaran darah terganggu," katanya.

Tambah Dr Anwar Samhari, pemanduan jarak jauh tanpa rehat melebihi 90 minit secara berterusan juga turut memberi risiko untuk mengalami sakit belakang.

Katanya, pekerja yang terpaksa mengangkat benda berat juga berisiko terutama bagi yang terpaksa mengangkat beban lebih 4 kilogram selain individu yang mempunyai berat badan berlebihan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghidap masalah tulang belakang tidak perlu risau kerana jarang berlaku kes mati pucuk disebabkan 'slip disc' walaupun dimomokkan dengan perkara itu.

Katanya, antara penyebab mati pucuk yang utama adalah diabetis diikuti masalah depresi.