MCMC akan kawal selia harga borong teknologi 5G

Peruntukan dan pengurusan prasarana 5G oleh SPV melibatkan pelaburan berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 10 tahun.
Peruntukan dan pengurusan prasarana 5G oleh SPV melibatkan pelaburan berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 10 tahun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengawal selia harga borong standard teknologi generasi kelima (5G) bagi rangkaian selular jalur lebar (5G) serta Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia (GOMSPV).

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, MCMC juga akan memastikan akses sama rata diberikan kepada semua syarikat telekomunikasi berlesen bagi mengelakkan berlakunya monopoli.

“Begitulah caranya bagaimana kami akan membimbing dan mengawal selia, bagaimana keseluruhan pasaran akan beroperasi berkaitan dengan 5G,” katanya pada program The Nation Bernama TV mengenai topik “MyDIGITAL: Game Changer for Malaysia” yang disiarkan pada Khamis.

GOMSPV ialah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan menyelia penggunaan prasarana dan rangkaian 5G di negara ini.

Peruntukan dan pengurusan prasarana 5G oleh SPV melibatkan pelaburan berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 10 tahun dan akan membolehkan pengedaran kapasiti 5G secara adil dan telus kepada syarikat telekomunikasi.

Fadhlullah juga berkata, SPV itu akan membina rangkaian 5G dan menawarkan kapasiti secara borong.

“Penubuhan SPV itu berguna kerana ia kurang didorong oleh keuntungan berbanding pasaran, yang dipacu keuntungan.

“Tidak ada salahnya dengan kuasa pasaran tetapi ia menyebabkan masalah sosial. Dengan SPV, ia akan membendung risiko-risiko tersebut,” katanya sambil menambah langkah itu akan membolehkan pengguna menikmati harga dan perkhidmatan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pelancaran inisiatif MyDIGITAL akan memacu syarikat tempatan menjadi pencipta dan bukan pengguna.

MyDIGITAL akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dijangka mewujudkan 500,000 pekerjaan dalam ekonomi digital.

Inisiatif itu juga diunjur menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, melengkapkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. - Bernama