Selangor terima 78,000 dos vaksin fasa pertama

Kiri: Dr Noor Azmi, Dr Siti Mariah, Amirudin, Datuk Nor Azmie dan Dr Sha'ari antara individu yang menerima suntikan vaksin pada Khamis.
Kiri: Dr Noor Azmi, Dr Siti Mariah, Amirudin, Datuk Nor Azmie dan Dr Sha'ari antara individu yang menerima suntikan vaksin pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Selangor menerima 78,000 dos vaksin jenis Pfizer BioNtech setakat ini pada fasa pertama imunisasi untuk petugas barisan hadapan dan pemimpin dari agensi-agensi kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan senarai petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaksin yang bermula pada Khamis.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada petugas hospital kerajaan dan swasta, pasukan keselamatan serta mungkin melibatkan pihak guru.

"Sekitar 66,690 orang barisan hadapan bakal menerima vaksin pada fasa pertama yang membabitkan petugas kesihatan awam dan swasta, polis serta tentera.

"Turut menerima vaksin tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah dan Yang Dipertua Majlis kerana mereka akan terlibat dengan pengurusan program imunisasi fasa dua dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Selangor di Hospital Shah Alam pada Khamis.

Amirudin merupakan antara 42 individu pertama di Selangor yang menerima suntikan vaksin di Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Selangor dilaksanakan oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Turut menerima suntikan vaksin ialah Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@ Hamid.

Artikel Berkaitan: