X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMASKINI] Kes baharu kembali bawah 2,000

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes harian Covid-19 di negara ini kembali ke angka kurang 2,000 dengan 1,924 kes buat pertama kalinya, sejak Ordinan Darurat dilaksanakan pada 11 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,918 kes adalah tempatan dan enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini 293,698 kes.

"Sejak penguatkuasaan Ordinan Darurat pada 11 Januari 2021, Malaysia menunjukkan trend penurunan kes harian baharu secara konsisten dan pada hari ini (Khamis) buat pertama kalinya Malaysia kembali melaporkan kes harian kurang daripada 2,000 kes.

“Ini perkembangan yang sangat positif dan diharapkan situasi semasa Covid-19 akan bertambah baik," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh pada Khamis merekodkan 3,752 kes menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan ialah 263,761 dan kes aktif sebanyak 28,837.

Beliau berkata, 12 kematian direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah kematian sejak pandemik itu melanda negara ialah 1,100, manakala pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 205 kes dengan 91 memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan mengenai kes, beliau berkata Selangor merekodkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 666 kes, diikuti Johor (257) dan Sarawak (219).

Kuala Lumpur (218), Pulau Pinang (162), Perak (120), Sabah (93), Negeri Sembilan (62), Kelantan (44), Kedah (29), Melaka (22), Pahang (19), Terengganu (6), Labuan (4), Putrajaya (2) dan Perlis dengan satu kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lapan kluster baharu dikenal pasti pada Khamis dengan lima berkaitan tempat kerja, dua kluster melibatkan komuniti di Kampung Mak Teh, Perak dan Jalan Ho Pin, Sarawak manakala satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi di Lorong Murni di Pulau Pinang.

“Kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Industri 19, SS Lapan dan Industri Jalan Empat di Selangor; Jalan Putra Silang di Kuala Lumpur dan Tapak Bina Indera Mahkota di Pahang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 93 kluster merekodkan pertambahan kes baharu hari ini dengan tiga daripadanya iaitu kluster Perindustrian Pelepas, Kluster Tanjung Suria dan Kluster Tembok Tapah merekodkan pertambahan kes baharu tertinggi, masing-masing 55, 47 dan 41 kes. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!