Jual, simpan LPG di 'pintu belakang' bengkel

Penguat kuasa KPDNHEP merampas LPG tidak mempunyai lesen yang sah dalam operasi khas sekitar Johor Bahru, pada Rabu.
Penguat kuasa KPDNHEP merampas LPG tidak mempunyai lesen yang sah dalam operasi khas sekitar Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor pada Rabu membongkar kegiatan perniagaan menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah yang berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan dan tayar.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan penguat kuasa selama dua minggu.

"Premis yang dilihat sebagai bengkel membaiki kenderaan serta tayar disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti penjualan, pengedaran dan menjadikan tempat simpanan bagi tong LPG melalui pintu belakang premis.

"Tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM 66,228 dalam satu operasi khas di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, selain premis itu KPDNHEP Johor juga melaksanakan operasi terhadap premis runcit dan borong yang menjual LPG di seluruh daerah di Johor.

Pemeriksaan katanya, memfokuskan kepada penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 berkaitan pematuhan penjualan LPG mengikut harga kawalan.

Jelasnya, ini termasuk kebenaran menjual melalui lesen yang dikeluarkan KPDNHEP.

Berdasarkan rekod katanya, sebanyak 210 premis diperiksa KPDNHEP Johor ke atas peniaga runcit dan borong yang menjual LPG mulai 18 Januari lalu hingga Rabu.

Artikel Berkaitan:

Susulan pemeriksaan yang dijalankan, beliau berkata, terdapat 14 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan jumlah kompaun bernilai RM7,000.

"Sebanyak 13 kes membabitkan kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan iaitu Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

"Satu kes lagi gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu memiliki, berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen," katanya.