PTPN dirangka bagi melengkapkan Dasar Perpaduan Negara

Halimah Mohamed Sadique
Halimah Mohamed Sadique
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 bagi melengkapkan Dasar Perpaduan Negara yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Februari lalu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, PTPN itu menggariskan program-program yang akan dilaksanakan secara inklusif dan komprehensif berdasarkan strategi yang ditetapkan dalam dokumen Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

"Proses dan gerak kerja pelaksanaan PTPN ini akan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di semua peringkat daripada pusat sehingga akar umbi," katanya ketika menyampaikan amanat tahun 2021 secara maya menerusi laman Facebook rasmi KPN pada Khamis.

Halimah berkata, beliau akan mempengerusikan satu jawatankuasa pelaksanaan bagi memastikan ketiga-ketiga dokumen iaitu Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan PTPN dilaksanakan dengan berkesan dan impaknya dapat dirasai oleh seluruh rakyat setiap peringkat.

Dasar Perpaduan Negara menggariskan tiga objektif utama iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Halimah berkata, beliau akan membentangkan laporan secara berkala mengenai status pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara termasuk PTPN di seluruh negara, kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu Halimah berkata, dalam usaha memperkasakan kepimpinan dalam komuniti, KPN telah menyediakan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Rukun Tetangga 2021-2030 yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada Ahad ini.

Menurutnya, pelan itu merupakan satu daripada strategi yang telah digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai pendidikan awal kanak-kanak, Halimah berkata, Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan akan diberikan penjenamaan baharu, antaranya melibatkan peningkatan tahap profesionalisme guru dengan memastikan guru mempunyai kelayakan akademik bersesuaian sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak atau setarafnya.- Bernama