RM13.53 bilion disalurkan di bawah Program Subsidi Upah

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM13.53 bilion telah disalurkan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, 2.0 dan 3.0 setakat 15 Februari lepas kepada 327,908 majikan, sekali gus membantu mengekalkan sebanyak 2.695 juta pekerjaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu turut berperanan sebagai antara faktor penurunan kadar pengangguran ke tahap 4.8 peratus pada November 2020 dan Disember 2020 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Namun kerajaan sedar bahawa kita perlu bertindak lebih daripada hanya menyelamatkan pekerjaan. Kita perlu menjana peluang pekerjaan baharu bagi yang kehilangan kerja atau yang mahu menyertai pasaran kerja, terutama belia lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Bagi mencapai objektif tersebut, Insentif Pengambilan Pekerja atau Program Penjana Kerjaya telah diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Program anjuran Kementerian Sumber Manusia itu menawarkan sebanyak 10,802 jawatan kosong.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Rabu pula memaklumkan setakat 23 Februari 2021, seramai 12,303 peserta telah membuat pendaftaran awal sejak sesi temu duga terbuka pada 18 Februari lepas.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, setakat 15 Februari 2021, sebanyak RM337.3 juta telah dibayar sebagai insentif Penjana Kerjaya 1.0 yang dimanfaatkan oleh 14,904 majikan dan menyediakan sejumlah 113,074 peluang pekerjaan untuk orang ramai.

Tarikh permohonan Penjana Kerjaya 2.0 di bawah Belanjawan 2021 pula dibuka pada 1 Januari, 2021 dengan lebih RM3.9 juta telah dibayar kepada 1,073 majikan yang melibatkan seramai 3,651 pekerja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat, khususnya bagi mereka dalam kategori B40 dan M40.

“Bagi menangani cabaran kadar pengangguran pula, kerajaan telah meperkenalkan pelbagai langkah termasuk PSU, Program Latihan dan Latihan Semula serta Program Insentif Pengambilan Pekerja atau Penjana Kerjaya.

“Bagaimanapun, gelombang Covid-19 terkini yang mengakibatkan pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari 2021, mungkin menyebabkan ramai yang masih menghadapi cabaran mencari pekerjaan dalam suku pertama tahun ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun PKP 2.0 membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi, namun terdapat sektor-sektor yang amat terkesan akibat pandemik itu seperti pelancongan dan beberapa subsektor peruncitan yang hanya mampu pulih apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya pada suku pertama 2022.

“Justeru, usaha yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso ini bertambah kritikal serta perlu dipergiat lagi bagi membantu mereka yang masih belum bekerja untuk meraih peluang pekerjaan dan menjana pendapatan,” katanya. - Bernama