Kaitan TRX dengan 1MDB akan dilupakan: CEO Lendlease Asia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perkembangan baharu dan keyakinan antarabangsa terhadap projek Tun Razak Exchange (TRX) akan segera menyaksikan orang ramai melupakan kaitannya dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia, Tony Lombardo.

Beliau berkata, tiada masalah dalam mendapatkan penyewa di TRX manakala HSBC akan pindah masuk ke bangunan ibu pejabatnya yang baharu yang sedang dalam pembinaan di TRX.

Berhubung kebimbangan terhadap kaitan projek itu dengan 1MDB, Lombardo berkata, daripada perspektif Lendlease, rakan kongsi syarikat ialah Kementerian Kewangan (MOF).

Lombardo berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas pelancaran TRX Lifestyle Quarter oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang turut menyaksikan majlis menandatangani kemudahan pembiayaan RM2.15 bilion membabitkan HSBC Malaysia, Standard Chartered Bank Malaysia, Malayan Banking Bhd dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation.

“Seperti yang dikatakan oleh menteri kewangan sebelum ini (dalam ucapannya) hari ini, MOF telah melakukan kajian (ke atas TRX) apabila mereka (kerajaan baharu) berkuasa. Perkataan yang beliau gunakan adalah ‘detoxification’ (nyahtoksik) dan itu merupakan perkataan yang penting untuk diingati,” katanya.

Lombardo juga berkata, tadbir urus korporat amat penting bagi syarikat.

“Kami sendiri turut melakukan kajian sepatutnya ke atas projek ini. Kami berasa selesa dengan risiko dan urus niaga yang kami telah rundingkan dengan MOF pada masa itu,” katanya.

Lendlease Corp Ltd yang berpangkalan di Australia ialah pemaju TRX Lifestyle Quarter di tapak seluas 6.88 hektar. - Bernama

Artikel Berkaitan: