Rentas negeri hantar anak ke sekolah tak perlu surat polis

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ibu bapa yang perlu merentas daerah atau negeri bagi menghantar anak-anak ke sekolah tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya, mereka hanya perlu menunjukkan surat yang dikeluarkan pihak sekolah semasa melalui sekatan jalan raya.

"Sebagai contoh jika ke asrama, pihak guru boleh mengeluarkan surat kebenaran untuk rentas daerah atau negeri," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama pegawai tertinggi PDRM dan ia juga telah dimaklumkan kepada pihak polis seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menerima rayuan oleh pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa yang bergantung hidup dengan melakukan persembahan di restoran dan gerai makan.

Katanya, setelah melakukan penilaian, kerajaan membenarkan golongan itu untuk menjalankan aktiviti di kedai makan atau restoran di kawasan PKP dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal antara mereka yang membuat persembahan.

Beliau berkata, kerajaan turut membenarkan aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan mesyuarat bersemuka di kawasan PKP bermula 5 Mac ini, dengan kehadiran 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang.

Katanya, hasil pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mendapati industri MICE pada tahun lalu menurun kepada RM2.25 bilion iaitu berkurangan sehingga 90 peratus, berbanding RM9.25 bilion pada 2019 selain lebih 5,000 pekerja industri itu hilang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perkhidmatan tata rias kuku tangan dan kaki (manicure & pedicure), beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dan kementerian berkenaan turut meminta diberikan masa menjalankan penilaian risiko kerana aktiviti tata rias kuku melibatkan sentuhan.

"KKM ingin melihat secara menyeluruh perkara itu kerana kalau kita benarkan manicure dan pedicure atau facial (rawatan muka), maka kita juga perlu mempertimbangkan permohonan seperti spa dan urutan kerana ia juga melibatkan sentuhan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Pasir Akar, Besut, Terengganu ditamatkan pada 27 Februari (Sabtu) seperti yang dijadualkan setelah penilaian risiko dilakukan mendapati baki kes aktif Covid-19 di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan. - Bernama