X

Kindly register in order to view this article
!

KKM nafi laporan pemberian vaksin kepada pengurusan kanan Hospital Serdang

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Laporan portal berita berhubung cadangan pemberian vaksin kepada 'influencer' pengurusan kanan Hospital Serdang yang tiada kontak secara terus dengan pesakit tidak benar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan awal mendapati hospital berkenaan bercadang untuk memberi vaksin kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal bagi menunjukkan teladan baik kepada kakitangan.

"Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko Covid-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit atau waris semasa menjalankan tugasan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegasnya, pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

"Isu ‘memotong barisan’ bagi mendapatkan vaksin tidak dibenarkan dan akan disiasat untuk tindakan," katanya.

Menurutnya, pihak media dinasihatkan untuk berhati-hati membuat laporan dan hanya melaporkan perkara yang disahkan benar.

"KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai juga dinasihatkan menyemak dahulu sebelum mempercayai sebarang berita atau menyebarkan kepada orang lain," katanya.

Sebuah portal berita melaporkan hospital berkenaan merancang memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pihak pengurusan yang tiada kontak secara terus dengan pesakit dan tiga pempengaruh dalam senarai penerima pertama pada Jumaat.

Ia sekali gus mengundang reaksi spontan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

"Tidak betul. Henti sebar berita tanpa nama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua jabatan klinikal penerima pertama vaksin di Hospital Serdang


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!