Ustaz Husam akur arahan henti kuliah

Kuliah terakhir Ahmad Husam di Masjid Al-Furqan Kampung Sungai Ular, Kulim pada 19 Februari lalu.
Kuliah terakhir Ahmad Husam di Masjid Al-Furqan Kampung Sungai Ular, Kulim pada 19 Februari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penceramah Ustaz Ahmad Husam Baderudin akur dengan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) yang meminta beliau menghentikan kuliah dan ceramah di negeri ini.

Menurutnya, setelah berdakwah selama 17 tahun, beliau bersedia menamatkan khidmat dakwah selepas menyampaikan kuliah terakhir pada 19 Februari lalu di Masjid Al-Furqan Kampung Sungai Ular, Kulim.

“Itulah kuliah saya yang terakhir di bumi Kedah. Saya akur dengan arahan pihak berwajib walaupun saya memiliki dokumen kebenaran yang mengizinkan saya menyampaikan ceramah dan kuliah di Kedah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Husam yang juga anak kepada bekas Mufti Kedah itu reda dengan kehendak JHEAIK dan menyifatkan setiap yang bermula pasti akan berakhir.

“Saya akur dan taat, tidak pernah saya impikan perkara sebegini akan berlaku dalam hidup saya. Selama 11 tahun saya bersama jemaah Masjid Sungai Ular, hampir dua buah kitab kami khatam dan pelbagai cara diatur untuk meneruskan kuliah,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini beliau belum menerima surat pemakluman daripada JHEAIK.

“Saya hanya membaca surat bertarikh 10 Februari itu selepas tular di media sosial. Saya akan hentikan semua kuliah dan ceramah di seluruh negeri ini bagi mematuhi arahan pihak berwajib,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Surat tular berhubung pemakluman berkaitan penyampaian kuliah Ahmad Husam bertarikh 10 Februari.
Surat tular berhubung pemakluman berkaitan penyampaian kuliah Ahmad Husam bertarikh 10 Februari.

Berdasarkan surat tular berkenaan, menyatakan terdapat aduan berhubung penyampaian ceramah beliau dalam masjid yang menimbulkan keresahan masyarakat, selain dikatakan tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di Kedah.

Sehubungan itu, beliau diminta mendapatkan tauliah mengajar dan kebenaran menyampaikan aktiviti kuliah terlebih dahulu dari Jabatan Mufti Kedah, seperti tertera dalam surat berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Husam berkata, beliau memiliki beberapa dokumen sah dari pihak berkuasa agama Kedah berhubung kebenaran menyampaikan ceramah dan kuliah pengajian di negeri itu selari dengan Enakmen Negeri Kedah.

“Tidak ada pihak menghubungi saya bertanyakan perkara itu, kepada pihak mana perlu saya tunjukkan dokumen itu? Saya bersedia berikan kepada pihak berwajib sekiranya diminta,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini beliau mengambil pendekatan untuk mengalah kerana tidak mahu mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan ummah.

“Bagi saya, di saat ALLAH SWT menurunkan bala kepada kita, ini adalah masa untuk kita menginsafi dosa dan kelemahan kita bersama. Bukan lagi masa untuk kita bergaduh,” katanya.