Pemuda Pas, UMNO Johor kecam tulisan A Kadir Jasin

Ahmad Nawfal
Ahmad Nawfal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tulisan Datuk A Kadir Jasin melalui Facebook beliau berkenaan Majlis Raja-raja Melayu dan Pengisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai tidak matang dan tidak berasas.

Ketua Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, tulisan itu dibuat hanya bersandarkan andaian, tiada fakta dan hanya bersifat spekulatif.

"Pemuda Pas Johor mengecam usaha memperkecil institusi raja yang sekian lama menjadi payung kesucian Islam. Memahami kesucian Islam di Malaysia terus dipelihara, maka mereka dilihat telah mengheret institusi raja demi misi tidak sihat golongan ini.

"Bahkan beliau secara licik menutup kenyataan tersebut dengan memberikan seakan peringatan bahawa kedudukan Majlis Raja-raja Melayu akan turut terkesan sekiranya perbahasan dalam kalangan warganegara berhubung pengisytiharan darurat dan penangguhan sidang Parlimen tidak ditangani.

"Suatu kenyataan yang wajar diklasifikasikan sebagai tidak bermerit. Kita menyifatkan kenyataan tersebut sebagai hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar sebagaimana termaktub dalam undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa Kadir menerusi tulisan di Facebook rasminya bertajuk 'Cerita Rakyat dan Payong Mahkota' menyatakan, sekiranya perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen tidak diatasi, kedudukan institusi diraja akan turut dilibatkan.

Ahmad Nawfal berkata, Pemuda Pas Johor memandang serius perkara tersebut dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap A Kadir berhubung kenyataan itu mengikut Seksyen 2, Seksyen 3 dan Seksyen 4(1)(a) di bawah Akta Hasutan 1948.

"Kesetiaan kepada raja dan negara merupakan satu sendi Rukun Negara bahkan Raja-raja Melayu dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Suatu kesetiaan yang tiada belah bahagi. Pemuda Pas Johor mengajak semua rakyat mempertahankannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan bersangka buruk terhadap institusi diraja sekali gus tidak wajar dikeluarkan oleh seorang Tokoh Wartawan.

Pemuda UMNO Johor katanya, mengecam keras tulisan tersebut dan sepatutnya sebagai 'orang lama' tahu garis batasan dalam penulisan termasuk mempersoalkan dan menghina institusi diraja.