X

Kindly register in order to view this article
!

530 anggota APM terima suntikan vaksin

Rosman
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 530 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, ia sebagai persediaan bagi kumpulan itu yang menggalas tanggungjawab sebagai pasukan barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Beliau berkata, tarikh dan lokasi suntikan akan dimaklumkan melalui notifikasi MySejahtera setiap petugas yang terlibat.

"APM Terengganu juga akan terlibat membuat laporan dan kawalan di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dikenal pasti di seluruh negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Pemerkasaan Komuniti Ejen Basmi Covid-19 (ABC) di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 15,000 dos vaksin itu akan diterima kerajaan Terengganu pada Khamis dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mendahului senarai penerima suntikan vaksin terbabit.

"Beliau akan menerima vaksin selepas Pelancaran Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang esok (Jumaat)," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rosman berkata, sebanyak 138 pasukan komuniti Ejen Basmi Covid-19 ditubuhkan sejak 10 Februari lalu yang terdiri dalam kalangan ketua kampung, penghulu dan pemimpin setempat.

Pasukan ini akan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai Covid-19 dan kepentingan mendapatkan suntikan vaksin melalui program di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, surau, taman permainan dan lokasi lain.

"Pengenalan diri untuk pasukan ini akan dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi melancarkan tugas mereka," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!