Kumpulan Along Kembar Dobi tumpas

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar menunjukkan gambar-gambar suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini berkaitan ‘Ops Lejang Kumpulan Azahar’ serta ‘Ops Pintu Kumpulan Along Kembar Dobi’. Suspek-suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan curi dan lerai motosikal serta pecah masuk dobi dan taska di sekitar kawasan antaranya Sungai Buloh, Lembah Klang dan Gombak. - Foto Bernama

A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis Sungai Buloh berjaya menumpaskan Kumpulan Along Kembar Dobi yang dipercayai bergiat aktif dalam kes pecah masuk dobi, taska, tadika dan kedai makan selepas menahan dua individu yang merupakan saudara kembar.

Suspek yang juga saudara kembar dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah terbabit di sekitar Sungai Buloh, Gombak dan Klang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek berjaya ditahan selepas pihak polis menerima laporan berkaitan kes pecah masuk sebuah kedai dobi pada 4 Januari lalu.

"Mangsa yang merupakan pemilik sebuah kedai dobi di Kuang mendapati terdapat kesan pecah pada pintu masuk dalam pejabat dobi tersebut.

"Selepas pemilik kedai membuat pemeriksaan didapati jeriji pada pintu tersebut dibengkokkan selain keadaan di dalam pejabat berselerak manakala syiling dan wang kertas yang disimpan dalam bekas dan dua tabung mengandungi token telah hilang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Khamis.

Menurut Shafa'aton, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua buah motosikal berhenti di hadapan kedai dobi mangsa dan memecah masuk ke dalamnya.

"Kumpulan ini akan menjalankan kegiatan jenayah pada awal pagi dari jam 1 pagi hingga 5 pagi," katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh, polis melancarkan Ops Pintu Khas iaitu Ops Pintu Kumpulan Along Kembar Dobi.

Artikel Berkaitan:

"Ops Pintu Khas selama dua hari bermula bermula 11 Februari membabitkan dua serbuan di dua buah rumah Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

"Polis turut berjaya memberkas dua suspek warga tempatan berumur 20 dan 23 tahun selain merampas sebuah motosikal, sebatang tukul dan dua batang pemutar skru," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.