Tular budak satu tahun dikompaun tak pakai pelitup muka

Rakaman CCTV memaparkan kanak-kanak terbabit tidak memakai pelitup muka. Foto: Ihsan FB Info Roadblock JPJ/Polis
Rakaman CCTV memaparkan kanak-kanak terbabit tidak memakai pelitup muka. Foto: Ihsan FB Info Roadblock JPJ/Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu tangkap layar tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak berusia setahun dikompaun oleh pengurusan sebuah kondominium selepas dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi spesifik kondominium berkenaan.

Menerusi perkongsian di Facebook Info Roadblock JPJ/Polis pada Rabu, insiden itu didakwa berlaku apabila kanak-kanak berkenaan yang dipercayai anak kepada salah seorang penghuni di sini dikesan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di dalam lif.

Katanya, selepas mengenal pasti kesalahan itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak pengurusan kondominium mengeluarkan notis kompaun bernilai RM100 kepada kanak-kanak terbabit.

"Tular pada malam ini, kes seorang kanak-kanak berumur setahun disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam lif," katanya.

Notis yang dikeluarkan oleh pengurusan kondominium itu. Foto: Ihsan FB Info Roadlbock JPJ/Polis.
Notis yang dikeluarkan oleh pengurusan kondominium itu. Foto: Ihsan FB Info Roadlbock JPJ/Polis.

Menerusi foto tangkap layar yang dimuat naik itu, kelihatan penghuni terlibat seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan kondominium terbabit dan menyatakan bahawa kanak-kanak setahun tidak diwajibkan memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, pengurusan kondominium terbabit kekal dengan pendirian mereka untuk mengeluarkan notis kompaun tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sehingga jam 2 petang tadi, perkongsian itu telah mendapat sebanyak 1,500 komen dan 770 perkongsian daripada netizen.

Seorang pelayar dikenali sebagai Hana Harris turut mempertikaikan tindakan pengurusan kondominium terbabit kerana kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak digalakkan memakai pelitup muka.

"Pergi klinik kesihatan, budak bawah dua tahun datang 'check up' semua tak pakai 'face mask', tak ada pula polis tunggu situ nak kompaun RM1,000.

"Nurse dan doktor pun tak marah sebab tau bahaya untuk umur macam itu," katanya.