X

Kindly register in order to view this article
!

Rupanya ada lagi 'jebon' dalam Pas, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar
A
A

POKOK SENA - "Dulu depa kata kami 'jebon', saya ingat 'jebon' dah mati habis dah. Rupanya ada lagi dalam Pas, saya terkejut juga apabila ada lagi 'jebon' yang mahu menjatuhkan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang," kata Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, parti itu perlu menjelaskan situasi tersebut sama ada terdapat kumpulan yang anti kepada Abdul Hadi wujud ataupun sebaliknya.

"Tetapi penafian-penafian daripada Pas itu adalah perkara biasa. Dulu mereka nafi ada hubungan dengan UMNO walaupun sebenarnya memang ada.

"Saya dengar dari kawan-kawan lama dalam Pas, mereka akui gelisah dengan perkembangan dan pergeseran yang sedang berlaku ini," katanya pada sidang akhbar selepas penyampaian sumbangan kembali ke sekolah oleh Pasaraya Econsave Pokok Sena pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pergeseran yang kononnya kini sedang berlaku dalam kepimpinan Pas.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pergeseran yang berlaku dalam parti tersebut sudah lama dan menjadi antara faktor beliau dan pemimpin lain keluar daripada Pas kerana hala tujunya telah menyimpang.

Sinar Harian melaporkan Ahli Jawatankuasa Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada Rabu menganggap bahawa dua kumpulan dikenali sebagai 'Geng Publika' dan 'Geng Ustaz' dalam parti itu tidak wujud.

Malah Ahli Parlimen Bachok itu juga enggan mengulas lanjut dakwaan yang mengaitkan beliau menjadi antara empat ahli ‘Geng Ustaz’ kononnya memihak kepada UMNO dan dikatakan cuba menukar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tular di satu kumpulan WhatsApp politik beberapa hari lalu mengaitkan Pas berdepan perpecahan dalaman parti susulan kewujudan 'Geng Publika' yang dikatakan pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 'Geng Ustaz' yang didakwa memihak kepada UMNO serta dikatakan cuba menukar Abdul Hadi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!