X

Kindly register in order to view this article
!

16,000 vaksin selamat tiba di Terengganu

Dr Nor Azimi (empat dari kanan) bersama Rohaimi sambil diperhatikan beberapa pegawai HSNZ memeriksa keadaan kotak simpanan vaksin sejurus diserahkan kepada pihak mereka di pekarangan HSNZ Kuala Terengganu pada tengah hari Khamis.
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Penghantaran fasa pertama, kira-kira 16,000 vaksin Covid-19 selamat tiba di negeri ini pada Khamis.

Sebahagian daripada bekalan itu tiba di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, jam 1.30 tengah hari dengan diiringi tiga kenderaan polis.

Sebelum itu, vaksin yang diambil di tempat penyimpanan di Subang Jaya selamat dihantar ke dua pusat simpanan vaksin (PSV) di Kemaman dan Setiu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, seramai lapan pegawai dan anggota dengan tiga kenderaan yang ditugaskan mengiringi bagi memastikan keselamatan perjalanan vaksin dari Subang Jaya ke Terengganu.

"Anggota dan pegawai terlibat sudah bertolak ke Subang Jaya pada Rabu dan bergerak ke sini kira-kira jam 6 pagi pada Khamis.

"Ketibaan vaksin di PSV pertama di Kemaman kira-kira jam 10 pagi dan kami terus ke PSV Setiu sebelum ke destinasi terakhir di PSV HSNZ di sini," katanya pada sidang media di pekarangan HSNZ di sini pada Khamis.

Rohaimi berkata, bagi penugasan keselamatan di PSV pula, pihaknya akan membuat rondaan secara berkala dan menambah keanggotaan berdasarkan keperluan semasa.

Jelasnya, di negeri ini, terdapat seramai lebih 4,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun jadual untuk suntikan itu ditentukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita tidak pasti jumlah sebenar pegawai dan anggota yang akan menerima vaksin fasa pertama ini, semuanya terserah atas budi bicara KKM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, petugas barisan hadapan dijangka menerima suntikan vaksin fasa pertama pada 2 Mac ini dan akan dilakukan secara berkala.

Menurutnya, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menjadi individu pertama disuntik vaksin pada Jumaat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!