Guna pistol mainan cuba samun kedai serbaneka

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyamun sebuah kedai serbaneka dengan menggunakan pistol mainan di Pekan Kundang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada jam 11 pagi di Jalan Besar Bandar Rawang di sini pada Rabu.

"Kita merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam dan sehelai t-shirt warna biru yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Arifai berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.

"Suspek ditahan reman empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, mangsa seorang wanita berusia 35 tahun bekerja seorang diri di kedai serbaneka berkenaan telah didatangi suspek yang bersenjatakan pistol kecil.

Arifai berkata, suspek telah meminta wang daripada wanita itu, namun mangsa menyatakan dia tiada wang.

"Suspek kemudian telah mengarahkan mangsa membuka peti wang kaunter, namun wanita berkenaan tidak boleh membuka peti wang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Suspek seterusnya telah meminta sekotak rokok dan kemudian terus beredar," katanya.

Dalam kes berasingan, Arifai memaklumkan pihaknya memberkas dua lelaki disyaki pengedar dadah di sebuah rumah di Kampung Sri Makmur Sri Gombak di sini pada Rabu.

"Dua lelaki berusia 28 dan 52 tahun itu ditahan pada jam 3.15 petang. Kita turut merampas 50 paket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka juga dapati positif methamphetamine dan amphetamine.

Arifai berkata, kedua-dua suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.