Jambatan ikonik Tasik Kenyir dibuka Mei depan

Ariffin (tengah) sempat melihat jambatan ikonik Tasik Kenyir yang kini hampir siap dan akan dibuka kepada orang ramai pada Mei nanti.
Ariffin (tengah) sempat melihat jambatan ikonik Tasik Kenyir yang kini hampir siap dan akan dibuka kepada orang ramai pada Mei nanti.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Selepas jambatan angkat (drawbridge), Terengganu akan memiliki satu lagi daya tarikan pelancongan baharu apabila jambatan ikonik Tasik Kenyir, di sini mula dibuka kepada orang ramai Mei depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pembinaan jambatan itu kini pada tahap 98 peratus dengan kerja-kerja peringkat akhir sedang dilakukan oleh kontraktor.

Menurutnya, jambatan ikonik yang dibina di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu merupakan sebahagian daripada skop projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir dan ia akan menjadi tarikan baharu pengunjung ke sana.

“Bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala ini melibatkan kos sebanyak RM107 juta.

“Struktur binaan dan reka bentuk jambatan yang gah ini akan menjadi tarikan baharu buat pengunjung yang datang ke sini,” katanya pada Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) bagi sektor pelancongan kepada pemandu bot, pengusaha rumah bot dan malim gunung di Tasik Kenyir, pada Khamis.

Seramai 230 pemandu bot, pengusaha houseboat dan 33 malim gunung di seluruh negeri mendapat bantuan secara one-off berjumlah RM300 setiap seorang melibatkan kos keseluruhan RM78,900.

Bantuan bagi meringankan beban penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 ini akan diagihkan terus ke dalam akaun penerima secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Poh yang kini hampir 100 peratus siap itu akan dilengkapi beberapa kemudahan infrastruktur bagi keselesaan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

"Antara kemudahan itu adalah terminal utama jeti penumpang, jeti kargo, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), tempat letak kenderaan, sistem perparitan, keperluan Pengurusan Pengawalan Alam Sekitar (EMP), sistem rawatan kumbahan dan hotel bertaraf tiga bintang dengan 150 bilik.

“Apabila projek pembangunan di Pulau Poh siap kelak, ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan tambahan di tasik buatan terbesar ini, sekali gus memberi nilai tambah kepada produk-produk sedia ada di sini,” katanya.