[DIKEMASKINI] Penjual kuih tidak mengaku hina polis di FB Live

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - [DIKEMASKINI] Seorang penjual kuih yang menghina polis menerusi siaran langsung Facebook sehingga tular di laman sosial, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan memalukan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Tuah Abdullah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar menggunakan laman sosial Facebook atas nama 'Tuah Ahmad Tuah' dan memulakan rakaman secara langsung yang jelek sifatnya iaitu memalukan PDRM dan ketua anggota PDRM, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan berlaku di sebuah kedai makan di sini, pada jam 2.44 petang, 31 Ogos 2020.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dia diberi ikat jamin pada kadar rendah atas alasan mempunyai pendapatan yang rendah, hasil jualan kuih-muih.

"Lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, perniagaan saya terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak ada niat untuk menjatuhkan martabat PDRM dan saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana saya tidak mampu," katanya.

Mohd Kafli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.