Tindakan tegas terhadap penggunaan dron di kawasan larangan

Ayob Khan (tiga dari kanan) selepas Majlis Penyerahan 34 buah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) Kontinjen Johor di Padang Kawad IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Ayob Khan (tiga dari kanan) selepas Majlis Penyerahan 34 buah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) Kontinjen Johor di Padang Kawad IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan tegas termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan dron khususnya di kawasan perairan negara perlu diperketatkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu susulan sindiket penyeludupan manusia dan kontraban didapati menggunakan dron bagi memantau aktiviti penguatkuasaan khususnya di pesisir perairan negara.

"Polis mempunyai kaedah tertentu untuk membanteras aktiviti penggunaan dron yang mencurigakan termasuk memintas sistem dan menembak jatuh dron berkenaan.

"Memang ada sindiket terlibat dalam penyeludupan manusia yang gunakan dron untuk memantau aktiviti pihak berkuasa seperti tentera dan polis.

"Tindakan akan diambil kalau kawasan-kawasan (tertentu) dia ada larangan penggunaan dron khususnya di kawasan operasi, tidak dibenarkan dan tidak diizinkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis penyerahan 34 buah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Pada Selasa, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan mendedahkan sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan teknologi terkini dan canggih seperti dron ketika menjalankan aktiviti penyeludupan migran serta barangan untuk dibawa masuk ke negara ini.

Penggunakan teknologi itu digunakan bagi mengesan pergerakan anggota keselamatan yang melakukan rondaan.

Artikel Berkaitan:

Sejak Januari lalu, sejumlah 20 dron bukan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikesan pihaknya disyaki ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

Mengulas mengenai penggunaan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux, Ayob Khan berkata, kenderaan itu akan digunakan untuk operasi yang dilengkapkan dengan peralatan dan aksesori terkini serta canggih, keseluruhannya bernilai RM5.3 juta.

Katanya, kenderaan itu bagi menggantikan Land Rover di seluruh negeri yang kini dilupuskan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan dan keadaan semasa.

"Kita masih mempunyai 40 Land Rover yang sedang digunakan sebelum dilupuskan. Toyota Hilux yang kita terima ini akan diagihkan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan jika ada keperluan, kita akan tambah pada masa akan datang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket penyeludupan guna dron jalankan aktiviti jenayah