Permit tanah: Kerajaan Perak alu-alukan siasatan SPRM

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengalukan siasatan terperinci dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu kelulusan permit ke atas sebuah syarikat bagi menjalankan aktiviti ladang hutan seluas 400 hektar, sekiranya ia menimbulkan keraguan banyak pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.

"Saya harap mereka dapat jalankan siasatan secara terperinci. Saya bersama pimpinan dalam PH termasuk ADUN dan Ahli Parlimen memang mahukan perubahan kerana kita sudah lihat banyak kerosakan berlaku dalam pentadbiran lampau.

"Jadi kita nak elak perkara seperti ini terus berlaku. Jika ada kekurangan yang perlu diperbaiki, kita pasti akan perbaiki," katanya mengulas laporan SPRM yang dibuat Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), semalam.

Laporan itu antara lain menggesa siasatan SPRM dibuat memandangkan timbul keraguan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan kurang lima bulan itu memperolehi kebenaran mengusahakan tanah seluas 400 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, siasatan mengenai kes itu belum dimulakan, namun mengesahkan ada menerima satu laporan dibuat atas nama gabungan NGO Perak, semalam.

"Kita belum mulakan lagi (siasatan), baru dapat maklumat (laporan) semalam hasil laporan daripada Gabungan NGO Perak.

"Kita sedang tunggu arahan daripada Ibu Pejabat (SPRM) untuk mulakan siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: