Ummah Negeri Sembilan lapor polis isu pemuda murtadkan wanita

Rosmin (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama ahli UMMAH NS pada Rabu.
Rosmin (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama ahli UMMAH NS pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Negeri Sembilan, membuat laporan polis terhadap seorang pemuda yang mengaku memurtadkan seorang wanita didakwa isterinya.

Pengerusinya, Rosmin Adam berkata, rakaman klip video seorang pemuda menyebut bahawa beliau telah memurtadkan seorang wanita Islam dan menghasut masyarakat Hindu untuk memurtadkan gadis Islam di Malaysia, tidak dapat diterima.

Katanya, tindakan lelaki itu juga merupakan satu penghinaan yang melampau.

"Kita sangat terkilan dengan perbuatan tersebut, walau pun pemuda itu membuat kenyataan cuba memohon maaf dari umat Islam di akaun FB Happy Family Malaysia, namun itu tidak memadai.

"Ummah Negeri Sembilan berpendapat tindakan tersebut jelas menyalahi undang-undang sedia ada dan kami mohon beliau disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, mana-mana orang Islam cuba keluar agama Islam boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang berkuat kuasa di bawah kerajaan negeri.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan hanya memohon maaf tidak boleh menyelesaikan masalah dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

"Tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pemuda ini boleh mencetuskan ketidakharmonian antara kaum di negara kita yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sikamat pada Rabu.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat dalam YouTube dan laman sosial memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Menurut lelaki itu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.