Ahmad Zahid saran Akta Orang Papa 1997 ditambah baik

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Akta Orang Papa 1997 (Akta 183) dikaji semula untuk penambah baikan dalam membantu gelandangan di negara ini.

Beliau berkata, angka gelandangan yang kian meningkat khususnya di Kuala Lumpur yang merekodkan jumlah tertinggi amat membimbangkan tambahan lagi dalam keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya, sebilangan mereka dikatakan menjadi begitu selepas mengalami tekanan akibat kehilangan sumber pendapatan atau perniagaan.

"Sebahagian mereka (gelandangan) mungkin beranggapan hidup gelandangan menyeronokkan sedangkan ia tidak selari dengan kehidupan bermasyarakat.

"Oleh itu, kita perlu mengkaji kaedah berkesan bagaimana perlu mengeluarkan mereka daripada kepompong itu.

"Mungkin Akta Orang Papa 1997 perlu dikaji untuk ditambah baik dalam membantu golongan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Presiden UMNO pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan dan NGO yang membantu dan menyelamatkan golongan itu secara berterusan.

"Apa yang kita harapkan adalah gelandangan dibantu supaya mereka dapat membantu diri sendiri untuk mengubah kehidupan," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu Sinar Harian menerusi laporan khas mendedahkan isu gelandangan kini menjadi satu masalah nasional sejak pandemik Covid-19 menular.

Exco Kebajikan Nation of Women National, Suhana Roshandin berkata, sebelum ini gelandangan terdiri daripada mereka yang berhijrah ke bandar namun tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup atas pelbagai sebab.

Bagaimanapun semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada kes masyarakat bandar sendiri yang jadi gelandangan akibat hilang pekerjaan dan kekurangan makanan.