Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit akan terus diniagakan dalam julat yang amat terhad, lebih cenderung kepada kadar aliran di Amerika Syarikat.
Ringgit akan terus diniagakan dalam julat yang amat terhad, lebih cenderung kepada kadar aliran di Amerika Syarikat.
A
A
A

SELEPAS ditutup tinggi pada Rabu, ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada pagi Khamis berikutan kekurangan pemangkin pasaran untuk memacu mata wang tempatan.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.0400/0440 berbanding dolar AS daripada 4.0400/0450 semasa ditutup pada Rabu.

Walaupun dolar AS stabil, sentimen pasaran diimbangi oleh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menunjukkan prospek ekonomi yang cerah.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, ringgit akan terus diniagakan dalam julat yang amat terhad, lebih cenderung kepada kadar aliran di Amerika Syarikat dan sentimen dolar AS yang lebih luas daripada kenaikan harga minyak mentah buat masa ini.

Beliau percaya pemangkin pertumbuhan domestik perlu meningkat bagi momentum ringgit turut meningkat dan terdapat perbincangan bahawa Bank Negara Malaysia mahu melihat ringgit stabil sekitar 4.00 berbanding dolar UAS untuk menambah baik situasi eksport hingga ekonomi domestik meningkat.

“Pendapat saya ialah pelabur mahu melihat kemajuan ekonomi di lapangan sebelum membuat pelaburan dalam dagangan ringgit.

“Prospek jangka panjang dilihat baik untuk ringgit berikutan harga tenaga yang meningkat, sektor eksport yang kukuh tetapi untuk kebimbangan pada masa ini, pelabur mungkin memerlukan lebih banyak galakan daripada pemulihan data ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.8088/8129 daripada 3.8192/8243 pada Rabu, mengukuh berbanding pound kepada 5.7134/7198 daripada 5.7210/7292 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9126/9191 daripada 4.9134/9203 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0627/0669 daripada 3.0608/0656 sebelum ini. - Bernama