Penyelarasan gred UD41, UG41 kepada pegawai kontrak diluluskan

MOHD SHAFIQ
MOHD SHAFIQ
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meluluskan penyelarasan gred pegawai perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43 dan pegawai pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44 berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dalam kenyataannya berkata, penyelarasan itu melibatkan 21,408 pegawai perubatan dan 697 pegawai pergigian.

"Selaras dengan kelulusan mengenai prinsip pelaksanaan urusan ini oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Januari 2021 dan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta persetujuan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 24 Februari 2021, pelarasan gred ini akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e-dentist bermula pada Khamis," katanya.

Menurutnya, notifikasi mengenai tawaran ini akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi emel masing-masing.

"Dengan pelarasan gred ini, diharapkan agar pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang termasuklah turut bersama dalam membendung serta menangani pandemik Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPA dan MOF turut meluluskan permohonan KKM untuk menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 pegawai perubatan, 1,071 pegawai pergigian dan 1,966 pegawai farmasi.

"Notifikasi mengenai tawaran ini juga akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi emel masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: