'Bukan berkempen, tapi lawatan kerja'

A
A
A

SEMENYIH - Tindakan empat menteri Bersatu yang mengadakan program di Semenyih baru-baru ini bukan untuk berkempen PRK sebaliknya hanya satu kebetulan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, lawatan kerja yang diadakan hari ini telah dirangka awal dan tarikhnya kebetulan menghampiri kempen pilihan raya.

Menurutnya, beliau maklum berkenaan teguran beberapa pihak mempersoalkan kempen lebih awal namun beliau berpendirian tidak wajar program kementerian dihentikan hanya disebabkan PRK.

"Tidak adil program bantuan dihentikan hanya disebabkan PRK, program kementerian telah dirangka awal dan peruntukan baru diperolehi jadi kita teruskan untuk fokus bantu rakyat.

"Jika kita ada agenda politik, kita akan fokus bantuan kepada pengundi saja sebaliknya saluran bantuan hari ini kepada mereka yang buat permohonan awal sebelum diluluskan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Bazar Mara di sini.

Beliau terdahulu merasmikan majlis penutup Kursus Quickwin Jahitan Kemas di Balai Raya Kampung Rincing Hilir dan melawat Program Perumahan Rakyat Termiskin di Jalan Sungai Lalang.

Terdahulu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Thomas Fann menegur sikap pemimpin PH terutamanya menteri dan timbalan menteri agar meletakkan prinsip pilihan raya bersih dan adil.

Ia susulan lawatan kerja Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik diadakan dalam satu minggu ini.

Artikel Berkaitan: