X

Kindly register in order to view this article
!

AS edar 25 juta pelitup muka kain kepada rakyat miskin

Gambar menunjukkan dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak memakai pelitup muka ketika berjalan di Los Angeles. - Foto: AFP
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengedarkan 25 juta pelitup muka kain bermula pada bulan depan sebagai usaha untuk membendung penularan pandemik koronavirus (covid-19), kata Penyelaras Tindak Balas Covid-19 Rumah Putih, Jeff Zients pada Rabu.

"Pada bulan Mac, kita akan memulakan penghantaran berjuta-juta pelitup muka untuk bank makanan dan pusat kesihatan komuniti di seluruh negara.

"Kita akan menghantar lebih 25 juta pelitup muka kepada seluruh negara (AS). Pelitup muka ini boleh diperoleh di lebih 1,300 pusat komuniti dan 600,000 pusat pengedaran makanan di seluruh negara (AS)," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Menurut satu kenyataan, pelitup muka itu berkualiti tinggi dan diedarkan kepada orang ramai secara percuma.

Ia menyatakan, dua pertiga daripada rakyatnya yang mendapat rawatan di pusat kesihatan komuniti tinggal dalam kemiskinan dengan 60 peratus merupakan etnik minoriti dan hampir 1.4 juta lagi tidak mempunyai rumah.

Penerima program itu yang melibatkan kos sebanyak AS$86 juta (RM347.61 juta) layak untuk mendapat dua pelitup muka bagi setiap orang dalam sebuah keluarga.

Keputusan untuk mengedarkan pelitup kain itu dibuat selepas Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDS) AS mengeluarkan satu kajian terbaharu menunjukkan pelitup muka yang berkualiti tinggi mampu memberikan perlindungan kepada si pemakainya dan orang yang berada di sekelilingnya. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!